Wajarkah Restoran Mamak Dihadkan Operasinya?

Wajarkah Restoran Mamak Dihadkan Operasinya?

- in Isu
mamak, restoran

 

Cadangan untuk membataskan waktu perniagaan bagi restoran-restoran ‘mamak’ yang kebiasaannya beroperasi 24 jam sehari atas alasan membawa kepada gejala sosial dilihat sangat tidak munasabah.

Perkara itu diusulkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri  Shahidan Kassim di mana perkara itu seterusnya akan dibawa untuk dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara. Tidak kurang banyaknya bantahan khususnya daripada kalangan pengguna  maya (netizen) mengenai cadangan itu.

Ramai pengguna maya mula mempersoalkan kemunasabahan perkara itu yang dikaitkan dengan penyumbang berleluasanya gejala sosial.  Sedangkan bagi mereka kebanyakan manusia yang ‘melepak’ di kedai mamak yang beroperasi 24 jam walaupun pada jam 2 hingga 4 pagi bukanlah untuk melakukan maksiat, berzina, minum arak dan melakukan perkara-perkara tidak bermoral.

Sebaliknya antara aktiviti yang kerap dilakukan di situ hanyalah seperti menonton siaran langsung perlawanan bola sepak bersama rakan-rakan, berbincang  mengenai tugasan atau kerja yang mesti disiapkan dalam keadaan segera, dan tidak kurang juga yang menjengah ke sana atas alasan terlalu lapar di tengah malam sehingga mengganggu kelenaan tidur.

Alasan restoran mamak yang menyediakan kemudahan internet (WiFi) percuma 24 jam  hingga menyebabkan sesetengah orang berjaga sehingga lewat malam untuk melayarinya di restoran tersebut sangat tidak masuk akal.

Ironinya, jika benar perkara itu secara tidak langsung menyumbang kepada gejala sosial, maka selayaknya cadangan itu lebih utama untuk ditujukan kepada premis-premis yang jelas ‘mempromosikan’ kegiatan tidak bermoral seperti rumah-rumah urut refleksologi, kelab-kelab malam, dataran yang menjadi kunjungan orang ramai pada waktu malam seperti Dataran Merdeka dan Dataran Shah Alam, pusat-pusat karaoke, snuker, kafe siber dan sebagainya. Malangnya, gajah depan mata tak nampak, kuman seberang sungai nampak pula!

Sekiranya benar pun perkara itu menyumbang kepada gejala sosial, ianya tidaklah seteruk jika dibandingkan apabila anak-anak muda yang dikatakan ‘tidak bermoral’ itu melepak di tempat lain seperti dataran -dataran yang dinyatakan di atas, taman-taman rekreasi, tempat-tempat sunyi dan banyak lagi tempat yang boleh dijadikan ‘port’ mereka melepak.  Sekurang-kurangnya suasana di kedai mamak tidaklah sunyi, bahkan sentiasa mempunyai pelanggan yang merendahkan kebarangkalian berlakunya kegiatan sumbang dan sebagainya.

Diskriminasi juga berlaku. Dikatakan hanya restoran mamak yang terletak di kawasan kediaman dan restoran luar bandar sahaja yang dikenakan tindakan itu manakala restoran yang terletak di kawasan tumpuan pelancong dan di kawasan bandar kekal sepertimana sediakala. Persoalannya, adakah kerajaan hanya mementingkan keperluan pelancong khususnya pelancong asing serta orang-orang berada (kaya) yang kebiasaannya tinggal di kawasan bandar lalu meminggirkan sebahagian pihak. Adilkah sedemikian rupa?

 

Related Posts

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *