Pelawat Dipakaikan Sarung Batik di JPJ : Wajar atau Tidak?

Pelawat Dipakaikan Sarung Batik di JPJ : Wajar atau Tidak?

- in Artikel HR, Isu, Pilihan Editor
kain batik

Kontroversi  berhubung etika pemakaian pelawat yang ingin berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula timbul apabila seorang pelawat dipaksa memakai  kain sarung batik sewaktu berurusan di kaunter jabatan itu.

Difahamkan bahawa ‘mangsa’ yang berbangsa Cina disuruh memakai kain batik apabila dia kelihatan memakai skirt pendek yang dikatakan terlalu mendedahkan bahagian tubuh, khususnya pada bahagian bawah yang menjolok mata.

Malangnya, berita itu kini hangat diperkatakan khususnya melalui media-media sosial  lalu menampakkan seolah-olah tindakan  memaksa pelawat mengenakan sarung adalah tidak patut. Ia dianggap zalim dan wajar dikecam sehingga menteri berkaitan terpaksa menafikan bahawa tindakan itu adalah prosedur standard dalam JPJ.

Menteri Pengangkutan,  Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan siasatan dan tindakan susulan diambil berhubung insiden tersebut, di samping menafikan bahawa polisi mengenakan kain sarung kepada pelawat yang gagal mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan JPJ sebenarnya tidak wujud dalam undang-undang agensi berkenaan.

Secara tegas, penulis tidak menafikan bahawa pemakaian seseorang khususnya bagi yang bukan beragama Islam terletak di tangan individu tersebut. Namun, situasi ini hendaklah dilihat dari sudut melanggar etika dan polisi sesebuah badan itu sendiri.

Ketidakpatuhan pelawat terhadap peraturan atau etika yang ditetapkan secara tidak langsung akan merendahkan martabat sesebuah agensi. Mana tidaknya apabila perbuatan yang bertentangan dengan norma tersebut, diikuti pula oleh orang lain setelah melihat pencetusnya tidak dikenakan apa-apa tindakan sewajarnya. Sehingga peraturan yang dikenakan oleh agensi berkenaan hanya dianggap sesuatu yang remeh, boleh dilanggar sewenang-wenangnya dan sebagainya. Oleh itu, apa gunanya wujud peraturan dan penetapan etika?

Bagi empunya badan memanglah tidak berasa apa-apa. Namun bagi orang lain, perkara itu secara tidak langsung menjejaskan pancaindera orang lain khususnya daripada kalangan orang beragama Islam yang perlu menundukkan pandangan iaitu tidak melihat perkara-perkara haram yang boleh membangkitkan nafsu seperti aurat atau bahagian tubuh berlawanan jantina yang terdedah.

Kita ambil contoh etika pemakaian di sekolah yang mengenakan pakaian beruniform kepada para pelajarn. Bayangkan jika pelajar dibenarkan berpakaian bebas ke sekolah. Tidakkah huru-hara sekolah itu? Di mana letaknya disiplin para pelajar tersebut? Masyarakat khususnya ibu bapa para pelajar akan mula mempersoalkan peranan para guru, khususnya guru disiplin yang akan dikatakan gagal mendidik dan menerapkan disiplin para pelajar di sekolah berkenaan.

Begitu juga jika dikiaskan dengan seorang perokok yang pada tanggapan dirinya, dia hanya menganggap bahawa perbuatannya hanya memudharatkan kesihatan sendiri. Namun secara tidak langsung, asap rokok yang dihembus dan dilepaskannya berupaya membahayakan orang lain. Situasi berkenaan sama dengan isu pakaian yang tidak memenuhi etika itu  bila mana ia berpotensi menaikkan gelora nafsu dalam diri orang lain khususnya yang berlawanan jantina, daripada kalangan orang Islam.

Apabila berlaku jenayah rogol, si perogol yang rata-ratanya adalah lelaki yang sering dipersalahkan. Namun mengapa agak kurang pihak yang menyalahkan mangsa rogol daripada kalangan wanita atas alasan tidak menjaga pergaulan, pemakaian yang seksi lagi menggiurkan dan sebagainya yang berupaya merangsang nafsu sang lelaki?

Persoalannya, mengapa rakyat Malaysia begitu marah terhadap 10 pelancong yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu seperti mana yang dilaporkan banyak akhbar beberapa hari lalu, sedangkan perbuatan mereka hanya terkesan kepada sesama mereka sahaja? Mengapa pula kita agak kurang sensitif apabila etika berpakaian yang dilanggar sesuka hati itu bahkan sampai ke tahap menyalahkan peraturan terbabit?

Orang ramai akan mula mencari kelemahan JPJ  dengan tanggapan bahawa JPJ boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang lebih besar daripada itu, namun tidak berdaya mengambil tindakan dalam hal-hal kecil ini seperti kontroversi memakai sarung. Justeru itu, penulis berpendapat bahawa etika berpakaian sopan yang dirangka agensi itu memang wajar dikuatkuasakan. Bagi penulis, lebih elok mereka yang tidak mematuhinya dipakaikan sedemikian rupa daripada dihalau keluar daripada berurusan di kaunter di hadapan khalayak ramai. Fikir-fikirkanlah sebelum melatah tanpa usul periksa.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *