Marah Perosak ‘Wayar’ Minda Bahagian 2

Marah Perosak ‘Wayar’ Minda Bahagian 2

- in Artikel
marah

Sifat marah harus dielakkan dari terus menguasai diri kerana amarah tidak akan memberikan impak yang positif, malahan keburukan yang dijemput oleh individu yang sedang amarah.

Ingat lagi kes Siti Fairrah Asyikin atau wanita yang digelar, “Kiki Peugeot CDM 25”, yang mengamuk menggunakan steering lock berhubung kes buli seorang warga emas yang melanggar keretanya. Kesannya Kiki telah disaman dan ditahan pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat (merosakkan harta benda) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah mengugut.

Bukan itu sahaja, malah beliau turut dicaci, dihina dan dimaki hamun oleh masyarakat. Akhirnya, dia membuat kenyataan maaf kepada warga emas tersebut melalui radio. Marah memberi kesan kepada diri juga orang sekeliling. Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk mengawal amarah.

 

Pertama: Dengan membaca ta ‘awwuz ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم )

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200).

Sekiranya sedang marah, bacalah ta’awwuz bagi mengawal kemarahan. Kalimah ini diajar Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat untuk diamalkan ketika mereka sedang marah.

 

Kedua: Mengubah posisi (kedudukan)

Rasulullah S.A.W. juga turut mengajar sekiranya mereka yang dikuasai marah, mereka perlu mengubah posisi kedudukan seperti berdiri kepada duduk dan duduk kepada baring.

Sabda Rasulullah S.A.W., “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

 

Ketiga: Segera mengambil wuduk

Wuduk bukan sahaja mampu menenangkan hati, malah ia turut  berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil.

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *