Kesakitan Sumber Manusia

Kesakitan Sumber Manusia

ubat

Kepentingan sumber manusia di dalam organisasi sangat diiktiraf dengan memastikan bahawa manusia yang diambil bekerja perlulah yang terbaik dan cekap. Kecemerlangan sesebuah organisasi antara salah satu tanggungjawab yang perlu dititik beratkan oleh pengurusan sumber manusia.

Dahulunya, sumber manusia diibaratkan bebanan kepada organisasi kerana banyak pelaburan perlu dibuat untuk unit ini. Kini,pengurusan sumber manusia telah dikenali sebagai aset penting dalam kecemerlangan sebuah organisasi itu sendiri.

Walaubagaimanapun, pengurusan sumber manusia sedang menghadapi krisis dalaman dan kewangan dalam meningkatkan kemahiran dan pembangunan diri para kakitangan, ini menyebabkan banyak faktor sesebuah organisasi itu mengalami masalah.

Kekangan kewangan adalah faktor utama yang dialami oleh pengurusan sumber manusia dalam menyusun pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti kakitangan mereka. Keadaan ini menyebabkan kakitangan tidak dapat meningkatkan produktiviti mereka secara tidak langsung kerana tiada kursus yang berkesan.

Tambahan pula, faktor utama inilah punca pengurusan sumber manusia mengambil keputusan dengan melantik mana-mana individu perseorangan, untuk menguruskan latihan kakitangan organisasi mereka. Inilah cabaran yang perlu diambil oleh pengurusan sumber manusia di mana mereka terpaksa melaksanakan latihan tanpa melihat keberkesanan latihan tersebut.

Kemahiran dalam menyusun latihan kakitangan, perlu mengambil kira pencapaian tahunan setiap bahagian di dalam organisasi. Inilah tanggungjawab pegawai latihan itu sendiri bagi memastikan latihan yang sesuai untuk meningkatkan kecemerlangan organisasi.

Sayangnya, apabila terdapat perubahan penjawatan, ini menjadi punca latihan tidak dapat dilaksanakan kerana dokumentasi tidak disediakan oleh pegawai terdahulu. Maka, penstrukturan semula perlu dibuat dan ia mengambil masa bagi melaksanakannya.

Selain itu, polisi sesebuah organisasi juga tidak banyak membantu pengurusan sumber manusia, dalam melantik konsultan menguruskan latihan kakitangan mereka. Isu mengambil kroni dan rasuah adalah salah satu punca menyebabkan polisi ini dilaksanakan.

Puncanya, mereka terpaksa mencari entiti lain dalam menguruskan latihan tersebut. Akhirnya, kualiti penyampaian menjadi isu dan seterusnya merencatkan produktiviti dan pandangan kakitangan kepada penganjuran latihan.

Bagaimanapun, sesebuah perlaksanaan pengurusan sumber manusia berbalik kepada siapa yang mengurus dan meluluskannya. Amanah kepada mereka ini perlu diambil dengan serius bagi melancarkan kecemerlangan organisasi tersebut.

Jika kita ambil contoh beberapa agensi seperti Tenaga Nasional Berhad dan Tabung Haji, organisasi ini serius dalam meningkatkan produktiviti kakitangan mereka. Kewangan mereka juga banyak membantu dalam melaksanakan program latihan.

Inilah yang perlu ada dalam polisi dan visi setiap agensi di Malaysia ini. Organisasi yang berjaya bukan datang dari berapa keuntungan yang diperolehi, tetapi datang dari kualiti kakitangan sesebuah organisasi tersebut.

Natijahnya, kakitangan mencerminkan keperibadian sesebuah organisasi. Semakin cemerlang produtiviti kakitangan,  semakin tinggi nama organisasi tersebut. Maka, persoalan pada diri anda, setinggi mana organisasi anda mahu terbang?

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *