Genggam Emosi, Tawan Hati, Tunduk Beli

Genggam Emosi, Tawan Hati, Tunduk Beli

- in Artikel
marketing-sales-image1

Saya mulakan cerita dengan bagaimana memenangi hati seorang pelanggan yang berstatus Doktor yang sangat cerewet dan akhirnya tunduk membeli produk perkhidmatan kami.

Ini sebuah cerita ketika saya mengendalikan pelanggan yang sangat tinggi egonya. Beliau melarang saya memanggil beliau Puan malah Cikpuan sekalipun. “Panggil saya Doktor”, kata pelanggan saya penuh ego.

Ini adalah tindak balas beremosi kerana ketika itu beliau berselisih  faham dengan ketua unit yang memilih produk kami berbanding produk lain. “Apa yang bagusnya syarikat kamu?”, tegas Doktor ini.

Selalunya, pelanggan sebegini memerlukan fakta dan visual dalam menjawab soalan mereka tadi. Apa yang perlu kita buat adalah memberi contoh dan testimoni mengenai produk. Selain itu, kita ambil contoh terdekat dengan memberi peluang kepada ketua unit tersebut berbicara mengenai pilihannya. Ini adalah markah penuh yang mampu menyakinkan Doktor tersebut.

Akhirnya, Doktor tersebut akur dan memilih syarikat kami dalam menyampaikan produk tersebut kepada kakitangan ketua unit tersebut. Di manakah kata kunci yang memenangi hati Doktor tersebut? Jawapannya, khidmat pelanggan yang baik dan berkesan.

Jika kita mahu  menggenggam emosi pelanggan walaupun mereka agak teliti dalam memilih produk, kita perlu bijak memahami emosi mereka ketika itu. Apa yang mereka mahukan? Siapa yang sesuai untuk produk tersebut? Apa yang mereka selalu tekankan dalam pemilihan produk tersebut? Ini soalan-soalan yang membantu kita dalam menyusun strategi memenangi emosi mereka.

Respon Segera

Pertama, mereka sangat sukakan maklum balas yang segera. Ini kerana anda telah memudahkan tugasan mereka dalam mempercepat pemilihan produk. Walaupun polisi syarikat anda memberi maklum balas dalam masa 3 hari bekerja, anda perlu lebih cepat daripada itu. Hal tersebut memberi gambaran yang positif kepada pelanggan anda. Cepat dan memudahkan.

Khidmat Pelanggan Yang Baik

Kedua, emosi pelanggan ini berubah-ubah. Maka, anda perlu mengikut rentak mereka dalam mengendalikan situasi tersebut. Jadilah penenang apabila mereka marah, jadilah pemudah cara jika mereka menyusahkan dan jadilah pemberi jawapan yang membina jika soalan mereka menjatuhkan diri atau syarikat anda. Apabila mereka melihat anda berjaya mengawal situasi tersebut, maka turunlah ego dan emosi mereka untuk menjadikan anda pilihan utama mereka. Ingat, cara inilah saya berjaya menjadikan Doktor tersebut dalam senarai pelanggan utama saya.

Sentiasa Berhubung

Ketiga, lupa adalah salah satu punca pelanggan anda memilih produk lain. Ini kerana mereka beranggapan anda tidak lagi berminat menawarkan produk yang sama kepada mereka lagi. Anda juga perlu sentiasa berhubung dengan pelanggan anda untuk memastikan mereka masih berminat dengan produk anda yang lain. Sentiasa ada produk yang baru atau lanjutan daripada produk pertama.

Sentiasa Bantu Buat Keputusan

Keempat, memudahkan pelanggan adalah salah satu emosi yang mampu menjadikan produk anda menjadi pilihan mereka. Ini sebenarnya adalah salah satu asas kepada penyelesaian masalah mereka. Kita sedar bahawa bukan sahaja anda yang membekalkan produk tersebut, malah berpuluh lagi syarikat yang mampu menawarkan produk yang sama. Itu pentingnya membantu memudahkan mereka dalam membuat keputusan terutama jika mereka masih lagi mencari nilai dan manfaat produk tersebut kepada mereka dan orang lain.

“Follow up” Selepas Pembelian

Kelima, ini sangat mustahak. Ini boleh dijatuhkan hukum wajib dalam memastikan produk anda berjaya menawan hati pelanggan. Anda perlu tahu adakah produk anda memenuhi keperluan dan mampu menyelesaikan masalah mereka sekurang-kurangnya 30%. Itu adalah had yang minimum. Ini kerana tidak semestinya pelanggan anda yang membeli produk anda  mampu menyelesaikan sehingga 50% pada kali pertama. Lihat kepada produk anda, adakah ia mengambil masa dan berfasa? Jika ya, jelaskan kepada pelanggan anda dan promosikan produk yang seterusnya untuk menaikkan peratusan penyelesaian yang berkesan sehingga 99%.

Jadikan matlamat anda  semudah yang dilihat.

 

– Oleh Hasbillah Hosshan

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *