Elakkan Membazir Semasa Membazar

Elakkan Membazir Semasa Membazar

- in Artikel
bazir-ramadhan

Perangkaan yang dikeluarkan SWCorp, syarikat penyelia sisa pepejal menunjukkan sebanyak 270 000 tan metrik makanan atau juadah sepanjang sebulan Ramadhan dalam setahun tidak ‘diusik’ dan boleh dimakan semula sebagaimana laporan portal berita mstar.com. Walaupun dalam keadaan kebanyakan rakyat Malaysia berasa dizalimi dan terbeban setelah terkesan dengan pelbagai polisi yang dikenakan kerajaan termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun itulah hakikat yang harus diterima, rakyat Malaysia adalah antara yang paling kerap boros dan membazir.

Berdasarkan perkiraan itu, dianggarkan seramai 180 juta orang iaitu sebanyak enam kali ganda daripada jumlah 27 juta rakyat Malaysia pada waktu ini dapat dihidangkan dengan makanan yang dibazirkan itu. Bayangkan sekiranya makanan lebihan itu diberikan kepada golongan memerlukan seperti pelarian Islam warga Rohingya di negara ini. Betapa besarnya pahala yang diperoleh apabila menjamu orang lain sewaktu berbuka puasa.

Ramadhan seharusnya mampu menjimatkan ekonomi individu atau keluarga apabila hidangan makan hanya disajikan dua kali sehari iaitu sahur dan berbuka di mana ia lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain. Ironinya, perbelanjaan pada bulan Ramadhan jauh lebih banyak berbanding bulan lainnya.

Tiada salahnya mengunjungi bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Namun yang menjadi salahnya adalah apabila seseorang membeli apa yang dirasakan hendak dimakannya mengikut kemahuan dan nafsu lalu mengabaikan keperluan khususnya dalam soal pemakanan yang sebenar-benarnya diperlukan olehnya.

Akibatnya, apabila hanya memakan sepinggan dua hidangan yang paling digemari sewaktu berbuka, lebihan makanan itu kemudiannya menjadi makanan tong sampah. Habis baik pun hidangan tadi dijadikan makanan sahur keesokan harinya. Itu pun sekiranya sempat bangkit sahur, atau makanan tersebut tidak basi. Jikalau tidak, alamatnya ‘kenyanglah’ tong sampah.

Disebabkan perut sedang lapar dan tekak terlajak haus, hampir kesemua sepuluh jari  di tangan dipenuhi plastik-plastik bungkusan makanan untuk dibawa pulang.  Sedangkan apa yang diperlukan hanya dua atau tiga jenis makanan sahaja untuk berbuka puasa, atau empat lima sebagai bekal sahur. Maka berlakulah pembaziran wang di situ.

Puasa seharusnya mengajar umat Islam supaya menginsafi nasib fakir miskin dan umat Islam di negara lain yang kurang bernasib baik dalam memenuhi keperluan khususnya daripada sudut makanan dan minuman mereka. Begitu juga pada bulan Ramadhan, setiap umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah per kepala kepada golongan fakir dan miskin. Lihatlah betapa besar nilai puasa Ramadhan dalam membentuk jati diri Muslim supaya lebih menginsafi serta mensyukuri nikmat pemberian tuhan. Malangnya, hal itu bertententangan dengan perlakuan boros yang banyak dilakukan sebahagian besar manusia.

Banyak ayat Al-Quran mencela sikap boros atau membazir. Antaranya  ayat yang selalu dibacakan pada surah Al-Isra’ (17) ayat 27: “Sesungguhnya para pemboros  adalah saudara-saudara syaitan.” Begitu juga pada ayat ke- 31 Surah Al-A’raf di mana Allah berfirman: ” Wahai anak keturunan Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap ( kali memasuki) masjid.  Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Justeru di manakah ibrah atau pengajaran dalam ibadah puasa sekiranya pembaziran atau boros bermewah-mewahan tetap berlaku di sepanjang bulan mulia itu khususnya setibanya malam hari?

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *