3 Peranan Pengurusan Sumber Manusia

3 Peranan Pengurusan Sumber Manusia

- in Artikel HR
peranan

Pengurusan Sumber Manusia memainkan peranan penting dalam organisasi. Bidang pengurusan merupakan suatu proses yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang dikawal bagi mencapai objektif sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, Pengurusan Sumber Manusia akan menitikberatkan aspek motivasi pekerja termasuklah persekitaran dan peluang agar pekerja dapat menggunakan bakat dan kebolehan mereka untuk kemajuan diri sendiri dan organisasi.

Dalam sesebuah organisasi, satu unit khas telah diwujudkan yang dinamakan sebagai Bahagian Sumber Manusia atau HR Department. Bahagian ini terdiri dari beberapa kakitangan yang diketuai oleh seorang Pengurus Sumber Manusia, yang akan mengawal dan memantau kelancaran dalam syarikat atau organisasi. Berikut digariskan tiga peranan utama Pengurus Sumber Manusia  yang anda perlu tahu dalam sesebuah organisasi.

1. Mendatar (A Line Function)

Pengurus sumber manusia bertanggungjawab dalam bahagian atau jabatan yang menjalankan sesuatu tugas sahaja dan mempunyai pekerja di dalam bidang dan latihan yang sama. Contohnya, pengurus sumber manusia bertanggungjawab dalam hal ehwal yang berkaitan dengan jabatan dan memberi arahan terus kepada staf di bawah bahagian atau jabatannya tentang sesuatu tugasan.

2. Penyelaras Tugas dan Aktiviti (A Coordinative Function)

Pengurus sumber manusia bertanggungjawab dalam kerja-kerja merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal pekerja dan tugas-tugas dalam sesebuah organisasi. Pengurus sumber manusia turut mempunyai pengurus lain yang bertugas sebagai subordinat iaitu pengurus sumber manusia yang akan mengurus pengurus yang lain. Pengurus sumber manusia bertindak selaku penyelia bagi pekerja bukan pengurusan sebagai subordinatnya. Pengurus sumber manusia membuat penyelarasan tugas dan aktiviti dan penyelarasan ativiti umumnya adalah selaras dengan kehendak sesebuah organisasi.

3. Penasihat dan Pembantu Staff (Staff Functions [Assist and Advise] )

Pengurus sumber manusia boleh bertindak selaku penasihat dan pembantu kepada pengurusan atasan. Pengurus sumber manusia akan mengambil tindakan pembetulan apabila organisasi menghadapi berbagai kesukaran yang tidak dijangka termasuklah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan sebarang pertikaian (isu-isu syarikat) yang berbangkit. Selain itu, pengurus sumber manusia juga bertindak sebagai perunding berkaitan dengan isu yang perlu ditangani dan diselesaikan melibatkan perundingan seperti perundingan antara pihak pengurusan syarikat dengan kesatuan sekerja.

Perancangan sumber manusia oleh pengurus sumber manusia merupakan proses yang mengkaji secara sistematik keperluan sumber manusia untuk memastikan agar bilangan pekerja yang berkemahiran diperlukan oleh sesebuah organisasi mencukupi. Perancangan sumber manusia bertujuan untuk mengekal dan meningkatkan keupayaan organisasi, agar mencapai objektif korporat melalui sumbangan daripada sumber manusia. Pengurus sumber manusia turut terlibat dalam proses perancangan strategik sesebuah organisasi.

Perancangan strategik merupakan satu proses di mana pihak pengurusan atasan menentukan tujuan dan matlamat keseluruhan organisasi serta bagaimana untuk mencapainya. Melalui perancangan strategik, organisasi akan menetapkan objektif-objektif utama dan membuat perancangan komprehensif untuk mencapai objektif-objektif berkenaan, dan selepas strategi organisasi ditentukan maka perancangan sumber manusia boleh dilaksanakan.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *